
Mahu mewakili negara dalam Sukan SEA. Itu cita-cita Azwan Bunjing, 27, atau lebih mesra dengan gelaran Awan Run yang aktif dalam acara larian jarak jauh sejak tujuh tahun lalu.
Bermula dengan penyertaan di kampus, Awan kini giat menyertai pelbagai acara larian walaupun pada mulanya sekadar untuk mencabar kemampuan diri.
Bercerita lanjut, Awan berkata, keluarganya tidak begitu menggalakkan dia aktif dalam sukan itu pada mulanya.
“Bukan tidak menyokong tetapi mereka bimbang jika tumpuan terhadap pelajaran terganggu kerana terlalu aktif dalam sukan berkenaan.
“Selepas memenangi beberapa kejohanan, mereka mula faham yang saya benar-benar serius dan terus memberi sokongan sehingga kini.
“Lagipun, banyak perbezaan sebelum dan selepas menyertai sukan ini dan salah satunya saya tidak lagi kerap demam seperti dulu,” katanya lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran dari Universiti Malaya (UM) ini.
Menurut Awan, rutin hariannya agak padat sejak aktif dalam sukan berkenaan kerana kebanyakan masa dihabiskan di tempat kerja dan trek latihan pada sebelah petang atau malam.
Bagaimanapun, Awan menganggap ia cabaran untuk dirinya yang memilih aktif dalam sukan berkenaan berbanding aktiviti lain.
“Banyak perkara yang saya korbankan sejak terbabit dengan sukan larian ini dan antaranya terpaksa melupakan masa bersosial bersama rakan.
“Bukan tidak mahu cuma masa saya amat terhad, siang bekerja manakala petang atau malam perlu mengadakan latihan di Taman Rekreasi KLCC, UM atau Hartamas.
“Tamat saja sesi latihan, saya terus pulang ke rumah kerana perlu mendapatkan rehat dan tidur yang cukup untuk melakukan tugasan pada keesokan harinya,” katanya yang pernah mewakili UM dan memenangi pingat emas dalam Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MASUM).
Demi memastikan stamina berada pada tahap memuaskan, Awan turut mengawal pemakanan dengan memastikan hanya mengambil makanan berkhasiat.
Menurut Awan, ia agak sukar pada mulanya namun dia sudah dapat membiasakan diri dan menjadikannya antara disiplin yang perlu dijaga selagi bergiat aktif dalam larian.
“Selain komited dengan latihan, saya juga perlu mengambil kira aspek lain yang boleh mempengaruhi tahap kecergasan badan.
“Salah satu cara adalah dengan mengawal pemakanan terutama ketika mengunjungi kenduri kahwin walaupun makanan disediakan menyelerakan.
“Walaupun nampak seksa, sebenarnya memberi kebaikan kepada tubuh badan kita supaya sentiasa sihat dan tidak merana kemudian hari,” katanya yang berpengalaman menyertai larian sejauh 21 kilometer (km) sempena acara Nike We Run, April lalu.
Awan berkata, selain aktif dalam acara larian, dia turut giat berkongsi pengetahuan dengan mereka yang baru berjinak-jinak menceburi sukan itu.
“Di samping itu, saya turut menjadi rujukan mereka yang ingin menurunkan berat badan.
“Puas sebenarnya kerana dapat membantu orang lain dengan ilmu dan pengalaman yang ada malah berharap lebih ramai menceburi acara ini ,” katanya.
*Corrections : Awan competed in ‘Majlis Sukan Universiti Malaysia’ (MASUM) Athletics in 2011 ( 2 Silver – 1000m & 5000m, 1 Bronze – Karate) & MASUM 2013 (3 Silver- 10,000m, 5000m, 1500m)
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.